Nama Sabah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Bristish ke Pulau Borneo lagi. Pihak British menukarkannya sebagai Borneo Utara dan digunakan secara rasmi semenjak tahun 1881. Sabah telah digunakan semula pada tahun 1963 setelah Sabah masuk ke dalam Malaysia.
Terdapat banyak variasi bagaimana nama Sabah diperolehi. Sabah pernah dikenali sebagai ‘Sudang’ yang pernah tercatat dalam puisi Java Nagaraketagama yang ditulis oleh Prapancha pada tahun 1365. Nama Sabah pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh pedagang yang mengembara di antara Pulau Sulu dan Brunei.
Dipercayai juga nama Sabah diperolehi daripada tanaman pisang yang dipanggil ‘Pisang Saba’. Pada masa sekarang ‘Pisang Saba’ dikenali sebagai ‘Pisang Menurun’. Jenis pisang ini biasa tumbuh di sepanjang pantai barat Sabah. Dialek orang tempatan yang menyebut ‘saba’ seperti menyebut ‘Sabah’ telah menyebabkan nama Sabah diperolehi.
Sabah merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Pentadbiran Sabah dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Bahagian Pantai Barat, Bahagian Sandakan, Bahagian Tawau, Bahagian Pedalaman dan Bahagian Kudat.

Gua Madai ialah tempat yang utama bagi aktiviti mengutip sarang burung. Sarang burung ini dianggap sebagai makanan istimewa dan dipercayai baik untuk kesihatan di kalangan masyarakat Cina dan pasaran eksportnya sangat meluas. Perkampungan di pintu gua ini berubah menjadi meriah setiap dua kali setahun apabila suku kaum Idahan datang ke sini untuk mengutip sarang burung dari bahagian-bahagian gua yang berbeza-beza ini.
Aktiviti mengutip sarang burung ini secara beramai-ramai menjadikan ianya seakan-akan sebuah pesta. Proses mengutip sarang burung ini agak dramatik di mana kaum lelaki menyabung nyawa dengan memanjat hingga ke siling gua untuk mengutip sarang burung. Kini mereka mengupah pengutip sarang burung. Puak Idahan mempunyai hak ke atas Gua Madai ini sejak 20 generasi yang lalu.