Sejarah Pulau Pinang

Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, diserah hak kepada Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau sebagai Pulau Prince of Wales untuk menghormatkan Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaigre yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakannya "Georgetown", iaitu nama Raja George III dari Britain.
Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia-Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangannya dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk menentang cita-cita orang Perancis di wilayah.
Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia-Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah hak kepada Syarikat dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah.
Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Kawasan Penempatan Selat (Straits Settlements) di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.

Apabila anda melangkah masuk ke dalam Muzium & Galeri Seni Negeri Pulau Pinang, anda akan disambut dengan arca gangsa Kapten Francis Light, pengasas Penempatan Selat Pulau Pinang yang merenung anda dari atas.
Sebaik sahaja anda masuk ke dalam bangunan muzium ini, anda akan ketahui mengapa muzium yang terletak di Jalan Farquhar, Georgetown ini dikatakan merupakan salah sebuah muzium negeri yang terunggul di Malaysia. Muzium ini terbahagi kepada galeri-galeri khas yang dituju khusus kepada masyarakat-masyarakat penempatan yang utama di dalam sejarah Pulau Pinang dan juga peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku di negeri ini. Muzium ini juga mempamerkan koleksi gambar lama, peta, dokumen-dokumen bersejarah, perabot Cina, sulaman, pakaian tradisi dan pelbagai barang bersejarah yang lain.
Galeri Seni yang terletak di tingkat satu bangunan Muzium ini mempamerkan hasil kerja pelukis tempatan dan lukisan-lukisan lama pemandangan negeri Pulau Pinang yang dilakar oleh William Daniels dan Kapten Robert Smith. Pertunjukkan khas juga diadakan di sini dari masa ke semasa.